Ahad, 11 Oktober 2015

masalah serangan serangga pada pokok gaharu

bagi menjawab persoalan en. mohamad, saya dapat gambarkan yang kebun saudara kerap dibersihkan. namun saya tak pasti berkenaan spesis, tinggi dan ukur lilit pembesaran batang pokok gaharu yang diserang itu.

disini, saya syorkan lakukan semburan cecair nutrien pembesaran, yang biasanya berfungsi sebagai baja untuk pokok, mengatasi masalah serangan serangga atau perosak yang boleh terbang dan membantu kepada kekebalan serangan khususnya pada daun.

apabila tanaman ini diserang, biasanya daun mulai kekuningan dan gugur. bagi anak gaharu yang masih kecil, risiko kematian adalah tinggi.

walaupun pucuk baru boleh tumbuh dan membesar semula, namun jika berlaku serangan serangga yang berulang akan menyebabkan anak pokok akan berakhir dengan kematian.

berkenaan dengan kumbang tersebut, adakah saudara pasti, kumbang tersebut membuat lubang pada batang pokok tersebut atau lubang itu sedia ada yang ditumpang.

sekiranya batang pokok tersebut masih kecil dikhuatiri anak gaharu ini tidak dapat hidup lama.

bagi gaharu yang telah hampir matang (mengikut ukuran tertentu) dan boleh disuntik dengan bahan inokulasi, saudara tidak perlu khuatir akan serangan ini. hal ini kerana ketahanan untuk terus hidup adalah tinggi, malah kesan positif menerusi gangguan ini membantu dalam proses kesakitan pokok dalam penghasilan teras secara semula jadi.  


bahan cecair nutrien

pastikan saudara gunakan penyembur yang bersih, bukannya bekas racun. pam racun galas yang telah digunakan adalah berisiko. oleh itu, dapatkan pam baru dan belum pernah digunakan untuk meracun.

dapatkan bahan cecair ini di kedai peladang terdekat dengan tempat saudara, ataupun daripada jurujual baja dan nutrien jenama lain untuk mendapatkan kesan pertumbuhan dan pembesaran gaharu yang hijau dan sihat.

contoh nutrien cecair yang boleh didapati di peladang adalah maxcrop tani, maxcrop proaktif, maxgrow tani dan bahan sokongan lain adalah excel magnesium.

maxrop tani atau dan maxcrop proaktif dicampurkan dengan air mengikut sukatan yang disyorkan. kemudian semburkan pada pucuk, daun, ranting dan batang pokok gaharu.

saudara boleh dapatkan bahan nutrien yang dijual dipasaran dengan menyemak kelebihan berikut:

a) bersifat organik
b) mempunyai unsur antikulat dan anti serangan serangga yang dicampurkan dari herba terpilih.
c) kandungan phosphat
d) dilengkapkan dengan mikrob baik
e) sebagai pencegah kepada kehadiran serangga perosak serta serangan virus
f) dapat menambah daya imunisasi dan rintang serangan dan penyakit.
g) membunuh bakteria tidak baik pada tanaman.
h) berfungsi sebagai perawat pokok yang diserang virus, serangga dan kulat.
i) daya sokongan dan kemampuan kepada antistres kepada tanaman.
j) tambahan kepada galakan pembesaran dan kesuburan tanah.

antara contoh kimia organik bagi mendapatkan pertumbuhan baik tanaman adalah:

a) kalsium kompleks
b) asid amino
c) mempunyai unsur sulfur
d) klorofil
e) betaines
f) cytokinin
g) magnesium
h) bekalan nitrogen

suntikan inokulasi

buat masa ini saya buat suntikan spesis aquilaria hirta sahaja. pokok candan disuntik menggunakan cecair persendirian yang mana masih peringkat ujian.

cecair inokulan ini disesuaikan dengan pokok candan sahaja. lain-lain spesis belum ditentukan lagi. memandangkan ia belum berfakta dan tidak terbukti sepenuhnya lagi, saudara perlu dapatkan bahan inokulasi daripada orang lain terlebih dahulu mengikut kesesuaian jenis aquilaria yang ditanam.

kursus inokulasi

kami daripada candan perdana tidak mengendalikan sebarang kursus pada masa kini. pihak kami hanya berkongsi maklumat dan permasalahan berkaitan gaharu berlandaskan pengalaman diladang dan perolehan maklumat daripada pihak tertentu. 

Tiada ulasan: