Rabu, 15 Mei 2013

Produk 4 moon booster dari Southern Farm Valley



Permintaan dunia yang semakin meningkat mendorong harga pasaran produk gaharu turut mencecah ribuan dan puluhan ringgit bergantung kepada gred yang terhasil.

Siri video diatas adalah seorang penyelidik dari Syarikat Southern Farm Valley Sdn Bhd. Beliau berjaya menghasilkan produk 4 moon booster yang menggunakan bahan dari alam semula jadi.


Menerusi bahan ini petani hanya perlu lakukan suntikan bagi menghasilkan teras beresin. Dengan 4 moon booster, penghasilan damar dapat dimaksimumkan.


Akan tetapi percubaan mengikut spesis gaharu perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan ianya sesuai kepada semua jenis pokok gaharu.


Anda boleh cuba produk Produk 4 moon booster dari Southern Farm Valley untuk percubaan anda di kebun.

Sabtu, 4 Mei 2013

Pelaburan sektor pertanian gaharu


Memandangkan kos hidup berkeluarga di Malaysia kini telah mencapai kadar yang sangat tinggi, dengan kepelbagaian keperluan semasa, peralihan kepada sektor pertanian adalah satu alternatif.

Inisiatif mencari sumber pendapatan sampingan tanpa melibatkan kos tambahan dari masa ke semasa, tidak perlukan modal yang tinggi, penjimatan kos operasi semasa membangunkan tanah gaharu merupakan pilihan terbaik.

Contohnya tanah kosong anda berkeluasan 1 ekar. Tanaman gaharu boleh dilaksanakan sekitar 1,000 anak pokok jika jarak antaranya lebih kurang 6 kaki. Persoalan disini adalah adakah anda mampu dan mempunyai modal untuk membeli 1,000 anak pokok dalam satu masa.

Membangunkan sesebuah tanah gaharu pada skala besar melibatkan kos berikut: 

a) 1,000 anak pokok melibatkan kos RM 10,000.00 jika sepokok berharga RM 10.00. Ianya bergantung kepada harga dan ketinggian anak pokok yang dibeli.

b) Kos jentera atau upah untuk pembersihan kawasan sekitar RM 1,000.00 untuk 1 ekar. Bergantung kepada tempat dan persetujuan.

c) Upah menanam anak pokok sebanyak seribu pokok boleh mencecah RM 1,000.00 bergantung kepada harga tenaga buruh.

d) Upah kerja-kerja pembajaan dan penjagaan RM 500.00 atau RM 200 hingga RM 300 sebulan.


Anggaran pelaburan pertanian gaharu diatas adalah satu bebanan bagi mereka yang berkeluarga besar. Sudah pasti gaji bulanan tidak mencukupi untuk menampung semua ini.

Ini kerana komitmen terhadap kos keluarga adalah lebih penting dan perlu dipenuhi terlebih dahulu daripada lain-lain perbelanjaan bersifat luar keperluan keluarga atau diri.


Pinjaman sektor pertanian

Setiap projek skala besar mempunyai risiko tanpa dijangka, terutama jika penanaman gaharu dikawasan yang rendah. Antara kemungkinan berlaku adalah seperti berikut:

a) takungan air hujan atau banjir

b) kebakaran di kawasan pertanian

c) khianat dengan racun

d) kemarau panjang yang boleh menyebabkan anak gaharu kecil boleh terbantut.

Oleh itu, anda perlu fikirkan dari sudut kemampuan untuk melaksanakannya sebelum projek skala besar yang melibatkan pinjaman dibuat.

  






Isnin, 29 April 2013

Projek skala besar berperingkat


Entri ini berkait dengan artikel Pelaburan sektor pertanian gaharu yang mana mempunyai kesinambungan. Sekiranya anda belum membaca tajuk tersebut sila ke tajuk berkenaan terlebih dahulu. 

Individu atau ketua keluarga sudah pasti mempunyai tabungan untuk masa depan atau diwaktu kecemasan. Sesebuah keluarga, perlu mewujudkan satu tabung khas bagi tujuan pelaburan sektor pertanian gaharu mengikut cara dan kemampuan masing-masing.

Wang dari tabungan itu, boleh disalurkan untuk membangunkan tanah gaharu secara berperingkat mengikut kemampuan dan keperluan didalam projek berkenaan.

Dengan ini anda boleh melihat pertumbuhan dan perkembangan tanaman gaharu berjalan secara skala kecil dan sederhana dengan diiringi kadar risiko rendah.

Dalam masa yang sama pengusaha dapat mengutip pengalaman dan memperbaiki kelemahan yang ada. Dengan ini, petani juga dapat membuat tanaman sara diri yang lain disamping memperkayakan kepelbagaian spesis aquilaria.

Gaya pekebun kecil adalah alternatif terbaik bagi menjamin bajet bulanan dan harian yang stabil untuk keluarga dan diri sendiri. 

Sila lihat terbitan ruangan kosmo dibawah: 



Gaharu antara bidang yang sesuai dan relevan dengan sektor pertanian kecil ini.

Isnin, 15 April 2013

Sumber maklumat berkaitan tanaman gaharu


Terdapat beberapa buah blog dan laman web berkaitan penanaman gaharu. Pelabur dan petani yang terlibat dalam bidang ini sememangnya perlukan maklumat berkenaan bagi membantu membangunkan tanah gaharu dengan jayanya.

Terdapat beberapa blog yang menawarkan maklumat penjagaan, penawaran anak pokok gaharu, benih gaharu, baja organik untuk pertumbuhan cepat gaharu, bahan-bahan suntikan dan bagaimana inokulasi dibuat dan menilai gred gaharu yang membentuk resin.

Tawaran terhadap anak pokok gaharu oleh syarikat dan individu merangkumi seluruh Malaysia. Lambakan ini memberi tanda positif kepada mereka yang ingin memulakan pada skala besar.

Beberapa spesis boleh didapati dengan mudah diseluruh Malaysia. Anda boleh merujuk di tempat-tempat berdekatan dengan tempat tinggal anda.

Contoh blog dan laman web mengikut tawaran diatas adalah:

a) gaharuembun.com.my

b) dungun.blogspot.com

c) usahawangaharu.blogspot.com

d) gunungcipta.net

e) gaharuman.com

f) gaharuandme.com

g) gaharusarawak.blogspot.com


Terdapat juga syarikat yang bersedia membeli hasil gaharu anda antaranya:

a) GunungCipta Sdn Bhd

b) Konsesi Utama Sdn Bhd


Manakala agensi kerajaan yang terlibat dalam penyelidikan karas adalah:

a) Institut Tenaga Nuklear

b) Jabatan Perhutanan


Sekiranya anda terlibat dalam industri gaharu perlu mendaftar dengan Jabatan Perhutanan. Sama ada sebagai:

a) pengusaha tanaman karas

b) pembekal kayu karas

c) pengilang sama ada separuh siap atau siap sepenuhnya.


Kini, dapat diputuskan dengan perkembangan ini petani dan pelabur lebih berani untuk terlibat dalam industri gaharu dan secara tidak langsung menambah jumlah eksport produk berasaskan gaharu ke luar negara.




Isnin, 1 April 2013

Usaha penanaman anak candan


Artikel ini adalah kesinambungan dari artikel Aktiviti mencari anak pandan hutan. Sila fahami dulu artikel sebelum ini.

Setelah sekian lama di kedai kopi, menikmati makanan petang meskipun pada waktu tengahari, saya bingkas bangun dari kerusi plastik lalu menuju ke kereta wira convert. Kunci suis diputar dan enjin digerakan ke Hulu Paka.

Kira-kira 15 minit berlalu, wira diparkir kemas ditepi jalan kecil bertanah merah (jalan balak). Disinilah anak-anak canda ini akan disemadikan sebagai tumbuhan bernilai tinggi.

Satu demi satu anak candan ditegakan sehingga matahari menjunam tanpa dirasai. Lewat petang ini kelihatan  tanaman candan menghijau sepi.

Anak candan yang kecil sekitar 1 kaki ketinggian diberikan kepada anak Pak Man yang tidak tahu lagi balik meskipun matahari sudah menjunam dan menghilangkan diri. Berani anak muda ini berada keseorangan di dalam hutan yang jauh dari penduduk. Harap-harap dia dapat tanam pokok candan ini dalam polibeg dengan penjagaan rapi dan redup.

Wira convert kini meluncur laju menuju ke Kerteh 6 Bandar Ketengah Jaya Dungun. Disinilah tempat berehat sebelum melangkah jauh ke Kuala Terengganu Malaysia.

    

Jumaat, 22 Mac 2013

Tanaman anak candan


Aquilaria hirta atau candan merupakan spesis yang dapat menghasilkan damar berkualiti. Tanaman candan boleh dibuat seperti mana penanaman pokok dari spesis gaharu.

Terdiri dari candan padi, candan gajah dan candan gunung. Terdapat batang kulit jenis merah, putih dan hitam. Mengikut kata Pak Man yang berpengalaman puluhan tahun mencari teras candan, batang kulit jenis putih dan hitam dapat membentuk resin lebih berkualiti jika dibandingkan dengan candan berbatang kulit merah. 

Manakala spesis candan gunung merupakan pokok candan yang sukar didapati dan boleh membentuk damar berkualiti tinggi secara semula jadi di hutan rimba.

Saya telah membuat carian menerusi enjin pencari google, dan mendapati sukar menemui mereka yang menawarkan anak pokok candan gunung. Hanya spesis daripada gaharu sahaja banyak ditawarkan diinternet. Antaranya aquilaria malacensis, a. crassna, a. sub integra dan hibrid.

Namun untuk mendapatkan spesis candan, anda perlu ke hutan rimba untuk mengambil anak-anak candan dibawah pokok tersebut. Sekiranya tiba musimnya anda boleh mengutip biji-biji benih dan semaikan di tempat yang redup dengan penjagaan yang rapi.

Bagaimana untuk membezakan antara pokok candan dengan spesis gaharu yang lain? sukar untuk diterangkan secara detail disini, namun daun candan berbulu pada bahagian bawah, sedikit berbeza bentuk dan warna daunnya.

Anak-anak candan yang masih kecil, perlukan perlindungan hampir 100% daripada cahaya matahari. Ianya perlukan suasana yang redup dan sejuk seperti mana didalam rimba. 

Apabila anak candan sudah meninggi dan stabil, aktiviti penanaman boleh dilakukan secara berhati-hati di tempat yang tidak panas atau kekeringan.

Anak candan juga boleh dikomersilkan dan mempunyai permintaan yang tinggi. Justeru, bagi melaksanakan projek seperti ini anda perlukan mereka yang mahir dalam aktiviti mencari candan di hutan. 

Sabtu, 16 Mac 2013

Aktiviti mencari anak candan hutan


Awal pagi jam sekitar 0700, pada 02.12.2012, wira saloon yang telah diubahsuai (convert jepun) berkuasa mitsubishi meluncur pada kadar sederhana diantara 100 hingga 120 km/j menusuri jalan daripada Kuala Terengganu ke Ketengah Jaya Dungun melalui Jerangau, Jabor dan Almutaffi Billa Shah (AMBS) untuk menjemput seorang yang memang sudah puluhan tahun mencari teras gaharu di hutan.

Tujuan saya dengan Pak Man (Pak Man Lambak) hari ini adalah untuk mencari anak pokok candan di sekitar hutan di antara Ketengah Jaya dan AMBS disini. Dan secara umumnya dikawasan rimba daerah Dungun. Setelah berbincang, kami memutuskan untuk mencari anak candan disekitar AMBS yang mana telah sedia maklum wujudnya candan dikawasan ini.

Bertolak dari Kerteh 6 Ketengah Jaya, kami bertolak dengan sekarong guni. Perjalanan lebih kurang 15 minit diperlukan sebelum wira ditempatkan di pinggir rimba kawasan AMBS.

Dengan golok yang diasah tajam, kami berjalan masuk meniti ke laluan sukar hutan tebal yang rendah dan lembab. Terfikir juga kawasan seperti ini digemari tedung selar berkeliaran mencari makan. Dengan langkah berhati-hati, mata sentiasa liar mencari pokok candan yang mungkin terdapat di persekitaran dalam perjalanan kami di dalam hutan yang redup lagi berbahaya itu. Kami semakin dalam ditenggelami keredupan hutan tebal...

Terfikir juga oleh saya, kemungkinan haiwan liar seperti harimau belang, tedung senduk, ular sawa, rimau akar dan lain-lain yang tidak mampu kami tewaskan jika diserang. Kaki sentiasa melangkah masuk lagi ke dalam hutan tebal, bergerak tanpa henti secara waspada dan tangan-tangan sentiasa mengalihkan tumbuhan berduri yang mengganggu perjalanan yang seakan-akan terumbang-ambing dek mengelak lopak air yang cetek.

Setelah sekian lama berjalan, kami menemui sepohon candan padi yang telah mempunyai takikan dengan parang beberapa kali oleh individu yang tidak dikenali. Dapat dilihat pohon ini telah disakiti dengan beberapa peringkat mengikut cara lama.

Kesan bauan resin atau damar tetap terasa meskipun baru sedikit kesan kehitaman terbentuk dibatangnya. Garis-garis hitam menghasilkan bauan yang menyenangkan setiap kali sahaja serpihan takikan lama diambil dan diletakkan di hidung.

Tanpa membuang masa, kami segera mencabut anak-anak pokok dibawah payungan candan tersebut. Memandangkan kini musim hujan, jadi tanam anak candan dihalaman tanah kami kebarangkalian besar adalah akan hidup dan membesar. Itupun dengan izin Tuhan.

Dalam kesibukan mencabut anak candan satu demi satu, kami terpandang 2 perangkap yang dibuat dari kayu hutan. Adakah ini perangkap landak, kijang atau kancil? Ahhh...lupakan saja. 

Setelah sekian lama, kami melonggokan anak pokok candan padi di suatu tempat, kami beralih lokasi dan terus berjalan dibawah payungan semak hutan tebal dan cuba mencari spesis gaharu pula. Mungkin dikawasan ini terdapat anak pokok spesis gaharu.

10 minit berlalu, kami gagal menemui pokok spesis gaharu. Kami memutuskan untuk pulang dengan anak candan sahaja. Kami mula langkah ke lokasi awal tadi. Anak candan tadi diikat kemas dan dibawa pulang.

Rantaian pokok-pokok tebal diredah dan langkah disematkan ke tanah secara cukup berwaspada. Cara kami yang mengatur langkah ini supaya selamat daripada sesat atau dipengaruhi makhluk halus.

Kalau dah tak biasa dengan rimba sudah pasti takut, namun orang asli tak berkasut boleh masuk ke kawasan berduri selamba je...




Jumaat, 8 Mac 2013

Potensi pasaran dan permintaan produk mentah gaharu

Artikel ini sebagai kesinambungan dari entri yang kami terbitkan sebelum ini berkait daripada tajuk:


Oleh itu, anda dinasihatkan membaca tajuk diatas terlebih dahulu sebagai memanfaatkan sepenuhnya setiap artikel yang kami keluarkan.

Sebelum anda memutuskan untuk mengusahakan tanaman gaharu, anda perlu tahu nilai pasaran dan permintaan semasa terhadap produk mentah yang akan dihasilkan.

Bukan sahaja damarnya, malah keseluruhan pokok gaharu boleh dimanfaatkan dan ditukar kepada wang. Bermula dari batangnya yang mempunyai damar, kulit batang pokok dan daun. Semua ini mempunyai nilai pasaran semasa.

Contohnya daun aquilaria crassna mempunyai potensi pasaran domestik bagi tujuan membuat teh gaharu yang mana tergolong didalam minuman herba.

Tidak kurang juga GunungCipta Sdn Bhd yang memerlukan kulit pokok spesis aquilaria crassna pada masa akan datang sebagai bahan mentah pembuatan kain pelikat yang mana projek ini masih peringkat awal.

Syarikat Konsesi Utama (M) Sdn Bhd, penempatkan kilang pemproses produk mentah khususnya gaharu di Kajang Selangor. Pemiliknya Norazlan Lumi telah mendapat geran penyelidikan bernilai RM 500k bagi tujuan penghasilan produk siap berkaitan kesihatan dan kecantikan berasaskan gaharu.

Dengan kerjasama Malaysia Technology Development (MTDC) anak syarikat UTM Loji Pandu kejuruteraan kimia dan kerjasama juga oleh Universiti Bogor Indonesia.

Anda sendiri sebagai petani moden atau seorang pelabur dalam pertanian gaharu, boleh mencari syarikat-syarikat tempatan yang lain untuk pembelian produk mentah gaharu mengikut nilai semasa. Ataupun mencari blog-blog dan laman web dari negara-negara arab yang mencari resin gaharu.

Oleh itu, tidak perlu bimbang akan pasaran gaharu. Apabila anda memiliki damar berkualiti, orang seluruh dunia akan mencari dan berhubung dengan anda apabila mereka mengetahui kewujudan anda.     

Sabtu, 9 Februari 2013

Kenapa gunungcipta menawarkan aquilaria crassna


Adakah anda tahu kenapa GunungCipta Sdn Bhd yang beralamat di Jerteh Besut Terengganu menawarkan anak pokok gaharu spesis aquilaria crassna.

Anak pokok spesis aquilaria crassna dari GCSB diimport dari negara Kemboja. Berumur 8 bulan dengan ketinggian 1 kaki. Harga RM 8 tanpa jaminan dan RM 12 bersama jaminan.

Spesis ini tidak mudah mati, mampu bertahan lama, lebih cepat membesar jika dibandingkan dengan spesis gaharu yang lain.

Dianggarkan dari umur 8 bulan ke 40 cm ukurlilit hanya dalam tempoh sekitar 4 tahun penanaman dibuat. Ukuran ini disokong dengan aktiviti jadual pembajaan supergrow dan semburan growlife.

Ini bermakna, hanya 4 tahun diperlukan sebelum suntikan dibuat bermula dari tarikh penanaman anak gaharu. Semasa proses pembesaran, cantingan dahan bahagian bawah perlu dibuat untuk memastikan perkembangan dan pembesaran menegak ke atas.

Dahan-dahan yang dicantas boleh diambil daunnya dan dijual untuk dijadikan teh herba gaharu. Manakala kulit batangnya boleh dikupas dan dijual untuk proses pembuatan kain pelekat.

Setelah 8 bulan inokulasi, pemeriksaan pembentukan damar akan sentiasa dibuat. Sekiranya didapati resin telah terbentuk, pokok ini akan ditebang pada ketinggian 1 kaki dari paras bumi bagi memastikan pertumbuhan tunas baru.

Tunas ini akan membesar sehingga proses tuaian kedua dilakukan sepertimana penebangan pertama tadi dalam tempoh 4 tahun kemudiannya. Tunas ketiga akan tumbuh dan dibesarkan selama lebih kurang 4 tahun lagi. Tuaian ketiga dan terakhir ini melibatkan penebangan dan mengorek akar-akarnya. Ini merupakan tuaian berulang sebanyak 3 kali penebangan dan boleh dimanfaatkan dari akar hingga ke pucuk pokok tersebut.

Justeru, adakah anda memilih aquilaria crassna dalam projek anda? Dapatkan maklumat lanjut menerusi artikel seterusnya dari kami.

Sabtu, 2 Februari 2013

Anak pokok gaharu spesis aquilaria crassna satu pengalaman


Selain dari spesis aquilaria hirta dengan nama mudahnya candan gunung, candan gajah dan candan padi, terdapat sekumpulan pokok dalam kategori gaharu yang boleh dianggap berpotensi dari sudut ekonomi dan komersil untuk diusahakan.

Pokok gaharu dari spesis aquilaria crassna merupakan tumbuhan yang boleh menghasilkan teras gaharu secara gred campuran. Telah dibeli daripada GunungCipta Sdn Bhd pada ketinggian 1 kaki di nursery mereka di Jerteh Besut. Anak pokok yang baru sahaja sampai dari negara Kemboja ini, telah dibawa ke Hulu Paka sebagai melengkapkan senarai dalam projek kami.

Namun sehingga sekarang (setelah 2 tahun berlalu) hanya beberapa pokok sahaja menampakkan perkembangan baik meskipun beberapa kali semburan grow life dan taburan super grow telah dilaksanakan. Dari sini saya dan rakan kongsi kami mencari sebab dan penyebab yang berkemungkinan punca kenapa berlaku demikian. 

Meskipun kami mendapat maklumat yang mana daunnya boleh dijual sebagai teh herba, kulit batang turut juga boleh diproses untuk industri kain pelikat ciptaan mereka, namun keutamaan kami adalah terasnya yang boleh dituai sebanyak 3 kali mengikut masa tertentu.

Dan apa yang kami diberitahu, spesis ini cepat membesar dan inokulasi boleh dijalankan setelah 4 tahun penanaman dengan bantuan super grow, grow life dan bio guard.

Dalam penelitian kami, mendapati daun kekuningan dan pembesaran tidak berlaku, Pendek kata terbantut. Antara yang boleh dilihat puncanya adalah: 

a) tanah yang kadar ph yang tidak sesuai,

b) lapisan bawahan yang keras dan akar anak pokok gagal tembus ke dalam sehingga daun turut kekuningan

c) serangan serangga menyebabkan daun kekuningan

d) kadar pemanasan melampau

e) terdapat kawasan berlopak dan didapati berair

f) kemungkinan tertentu yang kami boleh teka adalah baka tidak berkualiti. Ini kerana sebahagian kecil dari 50 pokok yang ditanam telah didapati membesar dengan cepat dan rimbun. Hal ini turut diakui pihak GunungCipta sendiri setelah saya pergi mendapatkan maklumat ini dari mereka di Jerteh Besut.

Oleh itu, dari penelitian diatas dapat disimpulkan A. crassna akan subur dan membesar apabila ditanam ditempat yang tidak terdedah dengan cahaya matahari secara terus, kawasan tanah yang lembab dan berpasir, mempunyai kadar kompos yang tinggi dan tanah yang lembut.

Dari aspek ini, petani perlu tahu kawasan tanaman karas tidak boleh dibuat di tempat yang didapati menyimpan air didalam tanah. Tambunan tinggi diperlukan untuk memastikan akar yang menjunam kebawah tidak sampai ke bahagian simpanan air dalam tanah yang boleh merosakan sistem akar pokok itu sendiri.   

Untuk mengetahui spesis aquilaria yang berkualiti dari artikel ini sila rujuk tajuk :

Jenis dan spesis pokok gaharu yang dikenalpasti

     

Jumaat, 1 Februari 2013

Sumber anak pokok karas dan gaharu


Di Malaysia kini, sudah ramai orang menanam pokok karas dari pelbagai spesis berkualiti sama ada menerusi benih tempatan ataupun yang diimport.

Sebenarnya anda tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan anak pokok gaharu, spesis seperti A. crassna, A. malacensis, A sub integra atau hibrid boleh diperolehi dari mana-mana nursery berdekatan anda.

Tidak kurang juga ada yang mengambil biji-biji dan anak-anak pokok karas ini di hutan untuk ditanam atau dijual. Spesis yang tertera diatas juga diimport dari negara-negara jiran seperti Kemboja, Thailand dan Vietnam untuk menampung permintaan anak pokok gaharu di Malaysia.

Kepada mereka yang mengusahakan projek karas berskala besar, boleh membeli biji benih karas untuk disemai terlebih dahulu. Cara ini dapat menjimatkan kos anak pokok yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Sekiranya berlaku lambakan anak pokok ia dapat ditukarkan kepada wang dengan cara penjualan semula anak pokok yang disemai.

Usahawan gaharu akan mengakui anak pokok gaharu mereka adalah berkualiti dan dari baka yang baik. Oleh itu, harga anak pokok bergantung kepada ketinggian, umur dan kualitinya.

Untuk mencari anak pokok gaharu yang berhampiran dengan anda, gunakan sahaja mudah.com atau enjin carian google dengan kata kunci berkaitan.

Contoh syarikat atau individu yang menawarkan anak pokok dan biji benih gaharu adalah:

a) gaharu embun

b) Green World Aroma Enterprise

c) Gunung Cipta

d) Gaharuman Resources

e) Gaharu Malaysia

f) Syarikat Ace Green

g) Gaharu Sarawak


Sebenarnya terdapat banyak lagi individu dan syarikat yang menawarkan benih dan anak pokok gaharu sebagai sumber bekalan dalam projek anda.

Cara mencari dan membeli anak karas

Anak pokok karas yang berusia 8 bulan ataupun bersamaan 1 kaki tinggi memerlukan penjagaan dan perhatian yang lebih setelah penanaman dibuat, akan tetapi jika anda membeli dan menanam anak pokok karas yang lebih tinggi dan besar, tahap penjagaan dapat diminimakan. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga diladang. Ianya juga menjimatkan masa menunggu untuk inokulasi yang mana sekitar 3 hingga 4 tahun sahaja.    

Sabtu, 5 Januari 2013

Cara membesarkan anak gaharu


Apabila selesai kerja-kerja pembersihan tanah, sudah pasti tanaman gaharu boleh dilaksanakan. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.

Pokok gaharu cepat membesar dalam keadaan tanah yang lembab dan persekitaran yang sejuk hutan. Kadar kandungan kompos yang tinggi dan pada suasana redup.

Sesuatu kawasan yang baru dibuka bagi tujuan pertanian dan dibersihkan dengan jentera berat, menyebabkan kawasan berkenaan tidak lagi sesuai dengan tanaman gaharu. Tiada tumbuhan renek atau rumput yang menutup bumi. Faktor ini menyebabkan tanah kekeringan.

Keadaan ini menyukarkan anak pokok gaharu yang ditanam untuk membesar. Tidak keterlaluan jika saya katakan disini kemungkinan ada anak pokok yang terbantut.

Justeru, pembukaan tanah baru memerlukan masa menunggu yang lama bagi memberi ruang kepada tumbuhan liar tumbuh terlebih dahulu. Anda perlu menangguhkan kerja-kerja penanaman gaharu sehingga tumbuhan liar mula menghijau dan menutup bumi. Anda juga boleh menanam pokok kacang hantu bagi tujuan melembabkan tanah. Disamping itu, penanaman pokok pisang dapat memberi suasana yang sejuk bagi kesuburan dan pembesaran cepat anak gaharu.

Setelah penanaman dibuat pembersihan dari masa ke semasa diperlukan bagi memberi ruang kerja-kerja gemburan, pembajaan kompos, semburan kulat dan cantasan ranting dibahagian bawah.

Rumput-rumpai hasil dari pembersihan semasa hendaklah dikumpulkan di tepi-tepi pokok untuk menggalakkan kehadiran mikroorganisma dan cacing tanah. Dengan langkah ini, tanah bertambah subur dan kaya dengan kompos semula jadi.

Penggunaan racun rumpai, racun serangga dan baja kimia hendaklah dielakkan. Ini bagi menjaga alam semula jadi tanah yang kaya dengan mikroorganisma yang dapat suburkan tanah daripada rosak.

Memanfaatkan baja kompos atau sebarang baja organik akan menggalakkan kehadiran cacing yang mana sangat baik dalam proses mengsuburkan tanah.

Dengan cara demikian, dapat membawa anda kearah petani mesra alam dan dalam masa yang sama anda menjaga kesihatan semasa aktiviti berkebun.        

Khamis, 3 Januari 2013

Penanaman di kawasan berair


Tanah rendah berkemungkinan direndami air terutama dimusim hujan. Tanaman karas di kawasan yang mempunyai air hujan bertakung adalah tidak sesuai. Akar pokok gaharu akan buruk dan seterusnya pokok akan mati. 

Apabila anak gaharu ditanam, akarnya akan menjunam ke bawah. Pokok gaharu perlukan tanah lembab bukannya tanah yang berair. Tanah yang berair boleh menyebabkan akar pokok gaharu menjadi rosak, terbantut dan seterusnya pokok akan mati.

Akan tetapi sekiranya anda tidak mempunyai pilihan ditempat lain yang sesuai untuk menanam pokok gaharu, disini saya gariskan beberapa cara yang boleh diikuti bagi memastikan spesis aquilaria kekal hidup subur dan membesar.

Tapak tanah tanaman yang rendah dan berair itu, tidak boleh ditanam dengan karas. Oleh itu, alternatif lain adalah anda perlu mencari sumber tanah lain dan dimuatkan atau dilonggok di tempat-tempat yang akan ditanam karas. Sama ada tambunan keseluruhannya atau mengikut point-point tanaman sahaja.

Tambunan pada keseluruhan kawasan memerlukan kos dan tenaga yang banyak. Tanah tambunan ini perlu dibiarkan beberapa lama bagi memberi ruang tumbuhan liar meninggi terlebih dahulu atau penanaman kacang hantu diperlukan memenuhi ruang kawasan yang akan dibangunkan dengan gaharu.

Pilihan kedua lebih menjimatkan dengan hanya membuat tambunan pada setiap tempat yang akan ditanam anak pokok gaharu sahaja. Disini anda boleh lihat seperti tambunan secara point mengikut koordinat yang berbaris.

Untuk melaksanakan cara kedua ini, point yang telah diukur jarak diantara point tanaman, perlu digemburkan terlebih dahulu sebelum tambunan secara point dilaksanakan. Tambunan tanah perlu ketinggian 1 kaki dari paras asal tanah. Meskipun demikian ianya bergantung juga kepada paras berair di kawasan tanaman tersebut.

Kemudiannya setiap tambunan ini digali dan ditanam dengan anak pokok gaharu. Dengan cara demikian, akar karas yang ditanam tidak terdedah secara terus didalam tanah berair. 

Apabila pokok mulai membesar, akarnya akan menjunam ke dalam tanah dan menyerap nutrien-nutrien baik serta air didalam tanah tersebut. Dengan itu, kawasan berkenaan akan kekeringan setelah pokok membesar dan membentuk tanah biasa yang sesuai untuk semua jenis tanaman.

Dalam masa yang sama, tumbuhan-tumbuhan liar mulai membesar dan tinggi. Ini membawa erti kepada kesesuaian tanah tersebut kepada semua jenis tanaman karas.


        

Gaharu antara pertanian mesra alam


Kaedah penanaman yang tidak melibatkan fungsi kimia antara subjek yang akan dibincangkan didalam cara penanaman dan perusahaan gaharu. 

Tanaman tanpa baja kimia, racun serangga dan racun rumpai merupakan pilihan dunia kini memandangkan kesedaran awam mengenai bahaya terhadap kesihatan. Kaedah pertanian tanpa racun menjamin keluaran hasil makanan yang bebas unsur yang boleh mengganggu sistem badan manusia.

Memandangkan candan ataupun spesis gaharu lain berasal dari hutan rimba, kini hasil resin lebih baik dan berkualiti dapat dikeluarkan tanpa perlukan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan pengguna.

Sebagai ganti aktiviti pembersihan boleh beroperasi secara manual sama ada penggunaan tenaga manusia sepenuhnya ataupun bantuan mesin. 

Penggunaan baja kimia boleh digantikan dengan jenis baja organik yang lebih mesra alam dan menjaga struktur mikroorganisma tanah. Dengan langkah ini dapat mengekalkan keadaan tanah yang subur. Ini kerana fungsi semula jadi alam yang mempunyai kelebihan dari sudut fungsi dalaman tanah yang mempunyai mikroorganisma dan kehidupan cacing didalam tanah. Teknik ini dapat menyumbang kepada kesuburan dan melembutkan tanah pada keseluruhannya.

Budaya bertani yang mesra alam dapat menjimatkan kos dan masa yang mana kos racun serangga, racun rumpai dan baja kimia menjadi 0. Manakala baja semula jadi dapat di manipulasikan secara menyeluruh.

Rumpai yang dilonggokan akan menjadi baja organik secara semula jadi disamping dapat mewujudkan keadaan penggayaan kompos didalam ladang tersebut.

Cara pertanian mesra alam dapat juga menjaga kesihatan petani dari risiko racun yang digunakan, disamping menjaga flora dan fauna serta hidupan air yang penting didalam hidupan manusia.

Marilah kita sama-sama semaikan budaya berkebun cara mesra alam. Peliharalah dunia selamat dari ancaman racun  berbahaya disamping mendapat faedah kos penyenggaraan ladang yang rendah dan efektif.