Isnin, 17 Disember 2012

Jenis dan spesis pokok gaharu yang dikenalpasti

Kumpulan aquilaria ini mempunyai beberapa panggilan dari masyarakat tempatan  iaitu:

a) karas
b) tengkaras/engkaras/kikaras
c) gaharu
d) depu
e) cendana
f)  candan

Manakala panggilan-panggilan lain mengikut negara dan masyarakat di luar negara seperti China, Jepun, Vietnam, Thailand, negara-negara Arab dan Eropah.

Meskipun demikian terdapat perbezaan maksud pada istilah diatas. Contohnya gaharu merujuk kepada kewujudan resin pada pokok karas, manakala cendana bukanlah dari kategori pokok gaharu.

Istilah atau perkataan candan merupakan percakapan tempatan yang merujuk kepada pokok candan atau gaharu. Dari blog yang pernah saya kunjungi pokok candan dikatakan dari spesis aquilaria hirta. Terdapat candan gajah, candan padi dan juga candan gunung. Candan gunung dikatakan dapat menghasilkan resin yang terbaik.

Manakala lain-lain spesis adalah:

a) aquilaria malacensis
b) aquilaria subintegra
c) aquilaria crassna
d) hibrid

Kini terdapat lambakan anak pokok gaharu di Malaysia. Ramai orang perseorangan dan syarikat mula memperkenalkan anak pokok masing-masing dengan harga berpatutan mengikut ketinggian dan kualiti anak pokok.

Tidak kurang juga yang memasarkan biji benih pokok yang diambil dari hutan dengan pelbagai spesis termasuk yang diimport.

Sekarang ini berlaku satu keadaan yang mana anak pokok gaharu pelbagai spesis diimport untuk dijual dalam negara. Ada anak pokok yang di jual berasal dari negara Thailand, Vietnam dan Kemboja.

Biji benih dan anak pokok ini pula terdapat pelbagai gred pula. Gred terbaik lebih mahal dan disifatkan berkualiti serta mudah membesar. Kita check dulu...



Khamis, 13 Disember 2012

Candan: Antara komersil dan sara diri

Apabila melihat kepada potensi ekonomi terhadap pengeluaran dan permintaan gaharu, ramai teruja untuk jadikan usaha tanaman depu secara komersil di tanah dan kebun sendiri.

Dari sini muncul syarikat-syarikat tempatan melebar sayap dalam bidang pertanian gaharu, penghantaran dan peruncitan serta pemprosesan sehingga kepada pemasaran produk siap.

Jangan berangan dan melihat kepada keluaran skala besar. Disini lebih penting kepada individu memikirkan berkenaan dengan penggunaan tanah yang optimum bagi pelbagai hasil pertanian untuk menampung keperluan hidup kini yang sangat tinggi.

Dengan itu tenaga didalam kelompok keluarga itu sendiri boleh dijanakan sepenuhnya bagi tujuan mendapat manfaat hasil yang lumayan tanpa perlukan modal membangunkan sesuatu tanah itu pada nilai kos yang tinggi dan diluar kemampuan.

Rata-rata penduduk mempunyai tanah kelapa sawit, getah dan dusun. Dari sini, tanah-tanah ini adalah ruang-ruang yang membenarkan spesis aquilaria hidup subur dan membesar.

Berkenaan dengan bahan cecair penghasilan resin atau damar, boleh gunakan cara terkini. Bukan lagi semut merah yang hanya menghasilkan sedikit teras dalam masa yang lama.  

Terdapat banyak tawaran cecair ini, masing-masing mengatakan bahan mereka adalah terbaik. Pastikan mereka mempunyai bukti dan jenis spesis pokok yang telah diuji dan anda sesuaikan spesis dengan bahan tersebut.

Kejayaan membesarkan anak pokok sehingga 30-40 cm ukur lilit adalah satu kejayaan namun perlu fikirkan satu kejayaan lagi,  bagaimana memaksimumkan teras yang mempunyai damar berkualiti tinggi dan pada kuantiti yang besar pada setiap pokok yang ditanam.

Petani juga perlu tahu akan saluran-saluran pemasaran resin dan kayu gaharu sama ada orang tengah atau syarikat-syarikat didalam atau luar negara disamping harga resin mengikut gred dan harga semasa.

Ahad, 9 Disember 2012

Pendapat Penulis Mengenai Tanaman Gaharu

Kini, dapat dilihat rakyat Malaysia dah mula sedar mengenai pokok gaharu dan kesannya terhadap ekonomi individu dalam bidang pertanian ini. Rata-rata apabila ditulis kata kunci gaharu, candan, cendana dan lain-lain kata kunci yang seumpamanya, google menyenaraikan banyak halaman berkaitan yang ditulis dari rakyat Malaysia dan bukan lagi dari blog-blog Indonesia.

Halaman-halaman ini menggambarkan peluang kekayaan kepada pembaca yang mana impak besar dari sudut ekonomi apabila mengusahakan bidang pertanian spesis aquilaria pada masa sekitar 5 hingga 8 tahun tanaman.

Pengaruh dan info berkaitan menjalar dengan cepat dan menjadi minat kepada mereka yang mempunyai tanah dan rumah sendiri atau kediaman keluarga. Kesungguhan untuk menanam tanaman gaharu mula tumbuh segar demi sasaran kekayaan dan hasil yang dikatakan lumayan.

Aktiviti perkongsian maklumat ini menjadi lebih rancak apabila banyak blog, forum, laman sosial dan laman web membincangkan dan mengetengahkan perkara ini. Minat anak muda mula tumbuh dalam bidang pertanian dan hal ini terbawa juga di kedai-kedai kopi.

Tidak salah dikatakan orang tidak akan cukup dengan apa yang ada. Apabila melihat sesuatu bidang itu lumayan dan efektif dari sudut ekonomi, minat mulai tumbuh dan bermain-main di kepala. Dari sini timbul bayangan ingin menanam gaharu pada skala besar bagi menjana pendapatan setinggi langit.

Tak dapat dibayangkan betapa mudahnya apa yang digambarkan dikepala. Ianya tidak serupa apabila dikotakan dan ingin dilaksanakan pada skala besar.

Dari sudut modal permulaan, khidmat nasihat, info berkaitan dan buku rujukan masih terhad. Pelajari sejarah orang lain untuk mengetahui kemungkinan wujud juga orang yang gagal ataupun ladang mereka ditinggalkan begitu sahaja kerana beberapa faktor.

Niat menjadi jutawan terkubur serta wang pendahuluan (modal) lebur begitu sahaja tanpa dapat dilihat dengan terang jelas dan nyata. Mereka sembunyikan sejarah kebodohan sendiri. 

Siang pandang-pandang, malam dengar-dengar. Boleh diumpamakan sebelum mulakan projek pertanian ini, adalah lebih baik rujuk kepada mereka yang berpengalaman bertahun-tahun agar wang tidak lebur dan kekayaan yang diimpikan tidak hilang begitu sahaja.

Apapun keadaan, artikel ini hanya satu pendapat dan coretan untuk kita fikirkan supaya terhindar dari kesalahan dan belajar dari sejarah orang lain. Biar yang lalu berlalu dan memang dah terlepas dan yang datang jangan sampai melepas dan terlepas. 

Dari sini apa yang penting kutip pengalaman dan belajar dari projek itu sendiri supaya ianya tidak terlalu cepat, besar dan akhirnya terhenti tetapi ia secara perlahan-lahan membangun dan berjaya mendapat resin dan damar yang mempunyai gred A dan super A.

Adakah aquilaria crassna sama ada dari siam, kemboja atau vietnam dapat membentuk resin berkualiti? Pada pendapat saya Malaysia terbaik.