Sabtu, 5 Januari 2013

Cara membesarkan anak gaharu


Apabila selesai kerja-kerja pembersihan tanah, sudah pasti tanaman gaharu boleh dilaksanakan. Namun, ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian.

Pokok gaharu cepat membesar dalam keadaan tanah yang lembab dan persekitaran yang sejuk hutan. Kadar kandungan kompos yang tinggi dan pada suasana redup.

Sesuatu kawasan yang baru dibuka bagi tujuan pertanian dan dibersihkan dengan jentera berat, menyebabkan kawasan berkenaan tidak lagi sesuai dengan tanaman gaharu. Tiada tumbuhan renek atau rumput yang menutup bumi. Faktor ini menyebabkan tanah kekeringan.

Keadaan ini menyukarkan anak pokok gaharu yang ditanam untuk membesar. Tidak keterlaluan jika saya katakan disini kemungkinan ada anak pokok yang terbantut.

Justeru, pembukaan tanah baru memerlukan masa menunggu yang lama bagi memberi ruang kepada tumbuhan liar tumbuh terlebih dahulu. Anda perlu menangguhkan kerja-kerja penanaman gaharu sehingga tumbuhan liar mula menghijau dan menutup bumi. Anda juga boleh menanam pokok kacang hantu bagi tujuan melembabkan tanah. Disamping itu, penanaman pokok pisang dapat memberi suasana yang sejuk bagi kesuburan dan pembesaran cepat anak gaharu.

Setelah penanaman dibuat pembersihan dari masa ke semasa diperlukan bagi memberi ruang kerja-kerja gemburan, pembajaan kompos, semburan kulat dan cantasan ranting dibahagian bawah.

Rumput-rumpai hasil dari pembersihan semasa hendaklah dikumpulkan di tepi-tepi pokok untuk menggalakkan kehadiran mikroorganisma dan cacing tanah. Dengan langkah ini, tanah bertambah subur dan kaya dengan kompos semula jadi.

Penggunaan racun rumpai, racun serangga dan baja kimia hendaklah dielakkan. Ini bagi menjaga alam semula jadi tanah yang kaya dengan mikroorganisma yang dapat suburkan tanah daripada rosak.

Memanfaatkan baja kompos atau sebarang baja organik akan menggalakkan kehadiran cacing yang mana sangat baik dalam proses mengsuburkan tanah.

Dengan cara demikian, dapat membawa anda kearah petani mesra alam dan dalam masa yang sama anda menjaga kesihatan semasa aktiviti berkebun.        

Khamis, 3 Januari 2013

Penanaman di kawasan berair


Tanah rendah berkemungkinan direndami air terutama dimusim hujan. Tanaman karas di kawasan yang mempunyai air hujan bertakung adalah tidak sesuai. Akar pokok gaharu akan buruk dan seterusnya pokok akan mati. 

Apabila anak gaharu ditanam, akarnya akan menjunam ke bawah. Pokok gaharu perlukan tanah lembab bukannya tanah yang berair. Tanah yang berair boleh menyebabkan akar pokok gaharu menjadi rosak, terbantut dan seterusnya pokok akan mati.

Akan tetapi sekiranya anda tidak mempunyai pilihan ditempat lain yang sesuai untuk menanam pokok gaharu, disini saya gariskan beberapa cara yang boleh diikuti bagi memastikan spesis aquilaria kekal hidup subur dan membesar.

Tapak tanah tanaman yang rendah dan berair itu, tidak boleh ditanam dengan karas. Oleh itu, alternatif lain adalah anda perlu mencari sumber tanah lain dan dimuatkan atau dilonggok di tempat-tempat yang akan ditanam karas. Sama ada tambunan keseluruhannya atau mengikut point-point tanaman sahaja.

Tambunan pada keseluruhan kawasan memerlukan kos dan tenaga yang banyak. Tanah tambunan ini perlu dibiarkan beberapa lama bagi memberi ruang tumbuhan liar meninggi terlebih dahulu atau penanaman kacang hantu diperlukan memenuhi ruang kawasan yang akan dibangunkan dengan gaharu.

Pilihan kedua lebih menjimatkan dengan hanya membuat tambunan pada setiap tempat yang akan ditanam anak pokok gaharu sahaja. Disini anda boleh lihat seperti tambunan secara point mengikut koordinat yang berbaris.

Untuk melaksanakan cara kedua ini, point yang telah diukur jarak diantara point tanaman, perlu digemburkan terlebih dahulu sebelum tambunan secara point dilaksanakan. Tambunan tanah perlu ketinggian 1 kaki dari paras asal tanah. Meskipun demikian ianya bergantung juga kepada paras berair di kawasan tanaman tersebut.

Kemudiannya setiap tambunan ini digali dan ditanam dengan anak pokok gaharu. Dengan cara demikian, akar karas yang ditanam tidak terdedah secara terus didalam tanah berair. 

Apabila pokok mulai membesar, akarnya akan menjunam ke dalam tanah dan menyerap nutrien-nutrien baik serta air didalam tanah tersebut. Dengan itu, kawasan berkenaan akan kekeringan setelah pokok membesar dan membentuk tanah biasa yang sesuai untuk semua jenis tanaman.

Dalam masa yang sama, tumbuhan-tumbuhan liar mulai membesar dan tinggi. Ini membawa erti kepada kesesuaian tanah tersebut kepada semua jenis tanaman karas.


        

Gaharu antara pertanian mesra alam


Kaedah penanaman yang tidak melibatkan fungsi kimia antara subjek yang akan dibincangkan didalam cara penanaman dan perusahaan gaharu. 

Tanaman tanpa baja kimia, racun serangga dan racun rumpai merupakan pilihan dunia kini memandangkan kesedaran awam mengenai bahaya terhadap kesihatan. Kaedah pertanian tanpa racun menjamin keluaran hasil makanan yang bebas unsur yang boleh mengganggu sistem badan manusia.

Memandangkan candan ataupun spesis gaharu lain berasal dari hutan rimba, kini hasil resin lebih baik dan berkualiti dapat dikeluarkan tanpa perlukan bahan kimia yang memudaratkan kesihatan pengguna.

Sebagai ganti aktiviti pembersihan boleh beroperasi secara manual sama ada penggunaan tenaga manusia sepenuhnya ataupun bantuan mesin. 

Penggunaan baja kimia boleh digantikan dengan jenis baja organik yang lebih mesra alam dan menjaga struktur mikroorganisma tanah. Dengan langkah ini dapat mengekalkan keadaan tanah yang subur. Ini kerana fungsi semula jadi alam yang mempunyai kelebihan dari sudut fungsi dalaman tanah yang mempunyai mikroorganisma dan kehidupan cacing didalam tanah. Teknik ini dapat menyumbang kepada kesuburan dan melembutkan tanah pada keseluruhannya.

Budaya bertani yang mesra alam dapat menjimatkan kos dan masa yang mana kos racun serangga, racun rumpai dan baja kimia menjadi 0. Manakala baja semula jadi dapat di manipulasikan secara menyeluruh.

Rumpai yang dilonggokan akan menjadi baja organik secara semula jadi disamping dapat mewujudkan keadaan penggayaan kompos didalam ladang tersebut.

Cara pertanian mesra alam dapat juga menjaga kesihatan petani dari risiko racun yang digunakan, disamping menjaga flora dan fauna serta hidupan air yang penting didalam hidupan manusia.

Marilah kita sama-sama semaikan budaya berkebun cara mesra alam. Peliharalah dunia selamat dari ancaman racun  berbahaya disamping mendapat faedah kos penyenggaraan ladang yang rendah dan efektif.