Sabtu, 9 Februari 2013

Kenapa gunungcipta menawarkan aquilaria crassna


Adakah anda tahu kenapa GunungCipta Sdn Bhd yang beralamat di Jerteh Besut Terengganu menawarkan anak pokok gaharu spesis aquilaria crassna.

Anak pokok spesis aquilaria crassna dari GCSB diimport dari negara Kemboja. Berumur 8 bulan dengan ketinggian 1 kaki. Harga RM 8 tanpa jaminan dan RM 12 bersama jaminan.

Spesis ini tidak mudah mati, mampu bertahan lama, lebih cepat membesar jika dibandingkan dengan spesis gaharu yang lain.

Dianggarkan dari umur 8 bulan ke 40 cm ukurlilit hanya dalam tempoh sekitar 4 tahun penanaman dibuat. Ukuran ini disokong dengan aktiviti jadual pembajaan supergrow dan semburan growlife.

Ini bermakna, hanya 4 tahun diperlukan sebelum suntikan dibuat bermula dari tarikh penanaman anak gaharu. Semasa proses pembesaran, cantingan dahan bahagian bawah perlu dibuat untuk memastikan perkembangan dan pembesaran menegak ke atas.

Dahan-dahan yang dicantas boleh diambil daunnya dan dijual untuk dijadikan teh herba gaharu. Manakala kulit batangnya boleh dikupas dan dijual untuk proses pembuatan kain pelekat.

Setelah 8 bulan inokulasi, pemeriksaan pembentukan damar akan sentiasa dibuat. Sekiranya didapati resin telah terbentuk, pokok ini akan ditebang pada ketinggian 1 kaki dari paras bumi bagi memastikan pertumbuhan tunas baru.

Tunas ini akan membesar sehingga proses tuaian kedua dilakukan sepertimana penebangan pertama tadi dalam tempoh 4 tahun kemudiannya. Tunas ketiga akan tumbuh dan dibesarkan selama lebih kurang 4 tahun lagi. Tuaian ketiga dan terakhir ini melibatkan penebangan dan mengorek akar-akarnya. Ini merupakan tuaian berulang sebanyak 3 kali penebangan dan boleh dimanfaatkan dari akar hingga ke pucuk pokok tersebut.

Justeru, adakah anda memilih aquilaria crassna dalam projek anda? Dapatkan maklumat lanjut menerusi artikel seterusnya dari kami.

Sabtu, 2 Februari 2013

Anak pokok gaharu spesis aquilaria crassna satu pengalaman


Selain dari spesis aquilaria hirta dengan nama mudahnya candan gunung, candan gajah dan candan padi, terdapat sekumpulan pokok dalam kategori gaharu yang boleh dianggap berpotensi dari sudut ekonomi dan komersil untuk diusahakan.

Pokok gaharu dari spesis aquilaria crassna merupakan tumbuhan yang boleh menghasilkan teras gaharu secara gred campuran. Telah dibeli daripada GunungCipta Sdn Bhd pada ketinggian 1 kaki di nursery mereka di Jerteh Besut. Anak pokok yang baru sahaja sampai dari negara Kemboja ini, telah dibawa ke Hulu Paka sebagai melengkapkan senarai dalam projek kami.

Namun sehingga sekarang (setelah 2 tahun berlalu) hanya beberapa pokok sahaja menampakkan perkembangan baik meskipun beberapa kali semburan grow life dan taburan super grow telah dilaksanakan. Dari sini saya dan rakan kongsi kami mencari sebab dan penyebab yang berkemungkinan punca kenapa berlaku demikian. 

Meskipun kami mendapat maklumat yang mana daunnya boleh dijual sebagai teh herba, kulit batang turut juga boleh diproses untuk industri kain pelikat ciptaan mereka, namun keutamaan kami adalah terasnya yang boleh dituai sebanyak 3 kali mengikut masa tertentu.

Dan apa yang kami diberitahu, spesis ini cepat membesar dan inokulasi boleh dijalankan setelah 4 tahun penanaman dengan bantuan super grow, grow life dan bio guard.

Dalam penelitian kami, mendapati daun kekuningan dan pembesaran tidak berlaku, Pendek kata terbantut. Antara yang boleh dilihat puncanya adalah: 

a) tanah yang kadar ph yang tidak sesuai,

b) lapisan bawahan yang keras dan akar anak pokok gagal tembus ke dalam sehingga daun turut kekuningan

c) serangan serangga menyebabkan daun kekuningan

d) kadar pemanasan melampau

e) terdapat kawasan berlopak dan didapati berair

f) kemungkinan tertentu yang kami boleh teka adalah baka tidak berkualiti. Ini kerana sebahagian kecil dari 50 pokok yang ditanam telah didapati membesar dengan cepat dan rimbun. Hal ini turut diakui pihak GunungCipta sendiri setelah saya pergi mendapatkan maklumat ini dari mereka di Jerteh Besut.

Oleh itu, dari penelitian diatas dapat disimpulkan A. crassna akan subur dan membesar apabila ditanam ditempat yang tidak terdedah dengan cahaya matahari secara terus, kawasan tanah yang lembab dan berpasir, mempunyai kadar kompos yang tinggi dan tanah yang lembut.

Dari aspek ini, petani perlu tahu kawasan tanaman karas tidak boleh dibuat di tempat yang didapati menyimpan air didalam tanah. Tambunan tinggi diperlukan untuk memastikan akar yang menjunam kebawah tidak sampai ke bahagian simpanan air dalam tanah yang boleh merosakan sistem akar pokok itu sendiri.   

Untuk mengetahui spesis aquilaria yang berkualiti dari artikel ini sila rujuk tajuk :

Jenis dan spesis pokok gaharu yang dikenalpasti

     

Jumaat, 1 Februari 2013

Sumber anak pokok karas dan gaharu


Di Malaysia kini, sudah ramai orang menanam pokok karas dari pelbagai spesis berkualiti sama ada menerusi benih tempatan ataupun yang diimport.

Sebenarnya anda tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan anak pokok gaharu, spesis seperti A. crassna, A. malacensis, A sub integra atau hibrid boleh diperolehi dari mana-mana nursery berdekatan anda.

Tidak kurang juga ada yang mengambil biji-biji dan anak-anak pokok karas ini di hutan untuk ditanam atau dijual. Spesis yang tertera diatas juga diimport dari negara-negara jiran seperti Kemboja, Thailand dan Vietnam untuk menampung permintaan anak pokok gaharu di Malaysia.

Kepada mereka yang mengusahakan projek karas berskala besar, boleh membeli biji benih karas untuk disemai terlebih dahulu. Cara ini dapat menjimatkan kos anak pokok yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit. Sekiranya berlaku lambakan anak pokok ia dapat ditukarkan kepada wang dengan cara penjualan semula anak pokok yang disemai.

Usahawan gaharu akan mengakui anak pokok gaharu mereka adalah berkualiti dan dari baka yang baik. Oleh itu, harga anak pokok bergantung kepada ketinggian, umur dan kualitinya.

Untuk mencari anak pokok gaharu yang berhampiran dengan anda, gunakan sahaja mudah.com atau enjin carian google dengan kata kunci berkaitan.

Contoh syarikat atau individu yang menawarkan anak pokok dan biji benih gaharu adalah:

a) gaharu embun

b) Green World Aroma Enterprise

c) Gunung Cipta

d) Gaharuman Resources

e) Gaharu Malaysia

f) Syarikat Ace Green

g) Gaharu Sarawak


Sebenarnya terdapat banyak lagi individu dan syarikat yang menawarkan benih dan anak pokok gaharu sebagai sumber bekalan dalam projek anda.

Cara mencari dan membeli anak karas

Anak pokok karas yang berusia 8 bulan ataupun bersamaan 1 kaki tinggi memerlukan penjagaan dan perhatian yang lebih setelah penanaman dibuat, akan tetapi jika anda membeli dan menanam anak pokok karas yang lebih tinggi dan besar, tahap penjagaan dapat diminimakan. Ini dapat menjimatkan masa dan tenaga diladang. Ianya juga menjimatkan masa menunggu untuk inokulasi yang mana sekitar 3 hingga 4 tahun sahaja.