Jumaat, 22 Mac 2013

Tanaman anak candan


Aquilaria hirta atau candan merupakan spesis yang dapat menghasilkan damar berkualiti. Tanaman candan boleh dibuat seperti mana penanaman pokok dari spesis gaharu.

Terdiri dari candan padi, candan gajah dan candan gunung. Terdapat batang kulit jenis merah, putih dan hitam. Mengikut kata Pak Man yang berpengalaman puluhan tahun mencari teras candan, batang kulit jenis putih dan hitam dapat membentuk resin lebih berkualiti jika dibandingkan dengan candan berbatang kulit merah. 

Manakala spesis candan gunung merupakan pokok candan yang sukar didapati dan boleh membentuk damar berkualiti tinggi secara semula jadi di hutan rimba.

Saya telah membuat carian menerusi enjin pencari google, dan mendapati sukar menemui mereka yang menawarkan anak pokok candan gunung. Hanya spesis daripada gaharu sahaja banyak ditawarkan diinternet. Antaranya aquilaria malacensis, a. crassna, a. sub integra dan hibrid.

Namun untuk mendapatkan spesis candan, anda perlu ke hutan rimba untuk mengambil anak-anak candan dibawah pokok tersebut. Sekiranya tiba musimnya anda boleh mengutip biji-biji benih dan semaikan di tempat yang redup dengan penjagaan yang rapi.

Bagaimana untuk membezakan antara pokok candan dengan spesis gaharu yang lain? sukar untuk diterangkan secara detail disini, namun daun candan berbulu pada bahagian bawah, sedikit berbeza bentuk dan warna daunnya.

Anak-anak candan yang masih kecil, perlukan perlindungan hampir 100% daripada cahaya matahari. Ianya perlukan suasana yang redup dan sejuk seperti mana didalam rimba. 

Apabila anak candan sudah meninggi dan stabil, aktiviti penanaman boleh dilakukan secara berhati-hati di tempat yang tidak panas atau kekeringan.

Anak candan juga boleh dikomersilkan dan mempunyai permintaan yang tinggi. Justeru, bagi melaksanakan projek seperti ini anda perlukan mereka yang mahir dalam aktiviti mencari candan di hutan. 

Sabtu, 16 Mac 2013

Aktiviti mencari anak candan hutan


Awal pagi jam sekitar 0700, pada 02.12.2012, wira saloon yang telah diubahsuai (convert jepun) berkuasa mitsubishi meluncur pada kadar sederhana diantara 100 hingga 120 km/j menusuri jalan daripada Kuala Terengganu ke Ketengah Jaya Dungun melalui Jerangau, Jabor dan Almutaffi Billa Shah (AMBS) untuk menjemput seorang yang memang sudah puluhan tahun mencari teras gaharu di hutan.

Tujuan saya dengan Pak Man (Pak Man Lambak) hari ini adalah untuk mencari anak pokok candan di sekitar hutan di antara Ketengah Jaya dan AMBS disini. Dan secara umumnya dikawasan rimba daerah Dungun. Setelah berbincang, kami memutuskan untuk mencari anak candan disekitar AMBS yang mana telah sedia maklum wujudnya candan dikawasan ini.

Bertolak dari Kerteh 6 Ketengah Jaya, kami bertolak dengan sekarong guni. Perjalanan lebih kurang 15 minit diperlukan sebelum wira ditempatkan di pinggir rimba kawasan AMBS.

Dengan golok yang diasah tajam, kami berjalan masuk meniti ke laluan sukar hutan tebal yang rendah dan lembab. Terfikir juga kawasan seperti ini digemari tedung selar berkeliaran mencari makan. Dengan langkah berhati-hati, mata sentiasa liar mencari pokok candan yang mungkin terdapat di persekitaran dalam perjalanan kami di dalam hutan yang redup lagi berbahaya itu. Kami semakin dalam ditenggelami keredupan hutan tebal...

Terfikir juga oleh saya, kemungkinan haiwan liar seperti harimau belang, tedung senduk, ular sawa, rimau akar dan lain-lain yang tidak mampu kami tewaskan jika diserang. Kaki sentiasa melangkah masuk lagi ke dalam hutan tebal, bergerak tanpa henti secara waspada dan tangan-tangan sentiasa mengalihkan tumbuhan berduri yang mengganggu perjalanan yang seakan-akan terumbang-ambing dek mengelak lopak air yang cetek.

Setelah sekian lama berjalan, kami menemui sepohon candan padi yang telah mempunyai takikan dengan parang beberapa kali oleh individu yang tidak dikenali. Dapat dilihat pohon ini telah disakiti dengan beberapa peringkat mengikut cara lama.

Kesan bauan resin atau damar tetap terasa meskipun baru sedikit kesan kehitaman terbentuk dibatangnya. Garis-garis hitam menghasilkan bauan yang menyenangkan setiap kali sahaja serpihan takikan lama diambil dan diletakkan di hidung.

Tanpa membuang masa, kami segera mencabut anak-anak pokok dibawah payungan candan tersebut. Memandangkan kini musim hujan, jadi tanam anak candan dihalaman tanah kami kebarangkalian besar adalah akan hidup dan membesar. Itupun dengan izin Tuhan.

Dalam kesibukan mencabut anak candan satu demi satu, kami terpandang 2 perangkap yang dibuat dari kayu hutan. Adakah ini perangkap landak, kijang atau kancil? Ahhh...lupakan saja. 

Setelah sekian lama, kami melonggokan anak pokok candan padi di suatu tempat, kami beralih lokasi dan terus berjalan dibawah payungan semak hutan tebal dan cuba mencari spesis gaharu pula. Mungkin dikawasan ini terdapat anak pokok spesis gaharu.

10 minit berlalu, kami gagal menemui pokok spesis gaharu. Kami memutuskan untuk pulang dengan anak candan sahaja. Kami mula langkah ke lokasi awal tadi. Anak candan tadi diikat kemas dan dibawa pulang.

Rantaian pokok-pokok tebal diredah dan langkah disematkan ke tanah secara cukup berwaspada. Cara kami yang mengatur langkah ini supaya selamat daripada sesat atau dipengaruhi makhluk halus.

Kalau dah tak biasa dengan rimba sudah pasti takut, namun orang asli tak berkasut boleh masuk ke kawasan berduri selamba je...




Jumaat, 8 Mac 2013

Potensi pasaran dan permintaan produk mentah gaharu

Artikel ini sebagai kesinambungan dari entri yang kami terbitkan sebelum ini berkait daripada tajuk:


Oleh itu, anda dinasihatkan membaca tajuk diatas terlebih dahulu sebagai memanfaatkan sepenuhnya setiap artikel yang kami keluarkan.

Sebelum anda memutuskan untuk mengusahakan tanaman gaharu, anda perlu tahu nilai pasaran dan permintaan semasa terhadap produk mentah yang akan dihasilkan.

Bukan sahaja damarnya, malah keseluruhan pokok gaharu boleh dimanfaatkan dan ditukar kepada wang. Bermula dari batangnya yang mempunyai damar, kulit batang pokok dan daun. Semua ini mempunyai nilai pasaran semasa.

Contohnya daun aquilaria crassna mempunyai potensi pasaran domestik bagi tujuan membuat teh gaharu yang mana tergolong didalam minuman herba.

Tidak kurang juga GunungCipta Sdn Bhd yang memerlukan kulit pokok spesis aquilaria crassna pada masa akan datang sebagai bahan mentah pembuatan kain pelikat yang mana projek ini masih peringkat awal.

Syarikat Konsesi Utama (M) Sdn Bhd, penempatkan kilang pemproses produk mentah khususnya gaharu di Kajang Selangor. Pemiliknya Norazlan Lumi telah mendapat geran penyelidikan bernilai RM 500k bagi tujuan penghasilan produk siap berkaitan kesihatan dan kecantikan berasaskan gaharu.

Dengan kerjasama Malaysia Technology Development (MTDC) anak syarikat UTM Loji Pandu kejuruteraan kimia dan kerjasama juga oleh Universiti Bogor Indonesia.

Anda sendiri sebagai petani moden atau seorang pelabur dalam pertanian gaharu, boleh mencari syarikat-syarikat tempatan yang lain untuk pembelian produk mentah gaharu mengikut nilai semasa. Ataupun mencari blog-blog dan laman web dari negara-negara arab yang mencari resin gaharu.

Oleh itu, tidak perlu bimbang akan pasaran gaharu. Apabila anda memiliki damar berkualiti, orang seluruh dunia akan mencari dan berhubung dengan anda apabila mereka mengetahui kewujudan anda.