Sabtu, 16 Mac 2013

Aktiviti mencari anak candan hutan


Awal pagi jam sekitar 0700, pada 02.12.2012, wira saloon yang telah diubahsuai (convert jepun) berkuasa mitsubishi meluncur pada kadar sederhana diantara 100 hingga 120 km/j menusuri jalan daripada Kuala Terengganu ke Ketengah Jaya Dungun melalui Jerangau, Jabor dan Almutaffi Billa Shah (AMBS) untuk menjemput seorang yang memang sudah puluhan tahun mencari teras gaharu di hutan.

Tujuan saya dengan Pak Man (Pak Man Lambak) hari ini adalah untuk mencari anak pokok candan di sekitar hutan di antara Ketengah Jaya dan AMBS disini. Dan secara umumnya dikawasan rimba daerah Dungun. Setelah berbincang, kami memutuskan untuk mencari anak candan disekitar AMBS yang mana telah sedia maklum wujudnya candan dikawasan ini.

Bertolak dari Kerteh 6 Ketengah Jaya, kami bertolak dengan sekarong guni. Perjalanan lebih kurang 15 minit diperlukan sebelum wira ditempatkan di pinggir rimba kawasan AMBS.

Dengan golok yang diasah tajam, kami berjalan masuk meniti ke laluan sukar hutan tebal yang rendah dan lembab. Terfikir juga kawasan seperti ini digemari tedung selar berkeliaran mencari makan. Dengan langkah berhati-hati, mata sentiasa liar mencari pokok candan yang mungkin terdapat di persekitaran dalam perjalanan kami di dalam hutan yang redup lagi berbahaya itu. Kami semakin dalam ditenggelami keredupan hutan tebal...

Terfikir juga oleh saya, kemungkinan haiwan liar seperti harimau belang, tedung senduk, ular sawa, rimau akar dan lain-lain yang tidak mampu kami tewaskan jika diserang. Kaki sentiasa melangkah masuk lagi ke dalam hutan tebal, bergerak tanpa henti secara waspada dan tangan-tangan sentiasa mengalihkan tumbuhan berduri yang mengganggu perjalanan yang seakan-akan terumbang-ambing dek mengelak lopak air yang cetek.

Setelah sekian lama berjalan, kami menemui sepohon candan padi yang telah mempunyai takikan dengan parang beberapa kali oleh individu yang tidak dikenali. Dapat dilihat pohon ini telah disakiti dengan beberapa peringkat mengikut cara lama.

Kesan bauan resin atau damar tetap terasa meskipun baru sedikit kesan kehitaman terbentuk dibatangnya. Garis-garis hitam menghasilkan bauan yang menyenangkan setiap kali sahaja serpihan takikan lama diambil dan diletakkan di hidung.

Tanpa membuang masa, kami segera mencabut anak-anak pokok dibawah payungan candan tersebut. Memandangkan kini musim hujan, jadi tanam anak candan dihalaman tanah kami kebarangkalian besar adalah akan hidup dan membesar. Itupun dengan izin Tuhan.

Dalam kesibukan mencabut anak candan satu demi satu, kami terpandang 2 perangkap yang dibuat dari kayu hutan. Adakah ini perangkap landak, kijang atau kancil? Ahhh...lupakan saja. 

Setelah sekian lama, kami melonggokan anak pokok candan padi di suatu tempat, kami beralih lokasi dan terus berjalan dibawah payungan semak hutan tebal dan cuba mencari spesis gaharu pula. Mungkin dikawasan ini terdapat anak pokok spesis gaharu.

10 minit berlalu, kami gagal menemui pokok spesis gaharu. Kami memutuskan untuk pulang dengan anak candan sahaja. Kami mula langkah ke lokasi awal tadi. Anak candan tadi diikat kemas dan dibawa pulang.

Rantaian pokok-pokok tebal diredah dan langkah disematkan ke tanah secara cukup berwaspada. Cara kami yang mengatur langkah ini supaya selamat daripada sesat atau dipengaruhi makhluk halus.

Kalau dah tak biasa dengan rimba sudah pasti takut, namun orang asli tak berkasut boleh masuk ke kawasan berduri selamba je...




Catat Ulasan