Ahad, 9 Disember 2012

Pendapat Penulis Mengenai Tanaman Gaharu

Kini, dapat dilihat rakyat Malaysia dah mula sedar mengenai pokok gaharu dan kesannya terhadap ekonomi individu dalam bidang pertanian ini. Rata-rata apabila ditulis kata kunci gaharu, candan, cendana dan lain-lain kata kunci yang seumpamanya, google menyenaraikan banyak halaman berkaitan yang ditulis dari rakyat Malaysia dan bukan lagi dari blog-blog Indonesia.

Halaman-halaman ini menggambarkan peluang kekayaan kepada pembaca yang mana impak besar dari sudut ekonomi apabila mengusahakan bidang pertanian spesis aquilaria pada masa sekitar 5 hingga 8 tahun tanaman.

Pengaruh dan info berkaitan menjalar dengan cepat dan menjadi minat kepada mereka yang mempunyai tanah dan rumah sendiri atau kediaman keluarga. Kesungguhan untuk menanam tanaman gaharu mula tumbuh segar demi sasaran kekayaan dan hasil yang dikatakan lumayan.

Aktiviti perkongsian maklumat ini menjadi lebih rancak apabila banyak blog, forum, laman sosial dan laman web membincangkan dan mengetengahkan perkara ini. Minat anak muda mula tumbuh dalam bidang pertanian dan hal ini terbawa juga di kedai-kedai kopi.

Tidak salah dikatakan orang tidak akan cukup dengan apa yang ada. Apabila melihat sesuatu bidang itu lumayan dan efektif dari sudut ekonomi, minat mulai tumbuh dan bermain-main di kepala. Dari sini timbul bayangan ingin menanam gaharu pada skala besar bagi menjana pendapatan setinggi langit.

Tak dapat dibayangkan betapa mudahnya apa yang digambarkan dikepala. Ianya tidak serupa apabila dikotakan dan ingin dilaksanakan pada skala besar.

Dari sudut modal permulaan, khidmat nasihat, info berkaitan dan buku rujukan masih terhad. Pelajari sejarah orang lain untuk mengetahui kemungkinan wujud juga orang yang gagal ataupun ladang mereka ditinggalkan begitu sahaja kerana beberapa faktor.

Niat menjadi jutawan terkubur serta wang pendahuluan (modal) lebur begitu sahaja tanpa dapat dilihat dengan terang jelas dan nyata. Mereka sembunyikan sejarah kebodohan sendiri. 

Siang pandang-pandang, malam dengar-dengar. Boleh diumpamakan sebelum mulakan projek pertanian ini, adalah lebih baik rujuk kepada mereka yang berpengalaman bertahun-tahun agar wang tidak lebur dan kekayaan yang diimpikan tidak hilang begitu sahaja.

Apapun keadaan, artikel ini hanya satu pendapat dan coretan untuk kita fikirkan supaya terhindar dari kesalahan dan belajar dari sejarah orang lain. Biar yang lalu berlalu dan memang dah terlepas dan yang datang jangan sampai melepas dan terlepas. 

Dari sini apa yang penting kutip pengalaman dan belajar dari projek itu sendiri supaya ianya tidak terlalu cepat, besar dan akhirnya terhenti tetapi ia secara perlahan-lahan membangun dan berjaya mendapat resin dan damar yang mempunyai gred A dan super A.

Adakah aquilaria crassna sama ada dari siam, kemboja atau vietnam dapat membentuk resin berkualiti? Pada pendapat saya Malaysia terbaik. 
Catat Ulasan