Rabu, 13 Julai 2016

Tanaman gaharu berkonsepkan hutan adalah lebih sesuai

Memandangkan spesis gaharu berasal dari hutan, jadi bukan sesuatu yang luar biasa jika idea ini diketengahkan. 

Jika kita lihat dan perhatikan, anak gaharu hijau mekar bila kawasan tersebut dikelilingi pokok tinggi yang lain.

Tambahan pula, tanah yang ditanam telah dipenuhi dengan tahi cacing pada permukaannya.

Disini dapat dibandingkan keadaan anak gaharu yang bermasalah apabila ditempatkan dikawasan tanah yang baru diteroka.

Tetapi, biasanya sesuatu pelaburan baru oleh individu atau syarikat, tak mungkin melaksanakan sesuatu projek secara kecil-kecilan bermula dari beberapa anak pokok sebagai pakej percubaan mereka.

Sudah pastinya sesuatu kawasan tanah yang diteroka akan dibersihkan pada skala besar menggunakan jentera berat.

Perkara ni bukanlah suatu kesalahan memandangkan zaman kini dan teknologi terkini begitu banyak kemudahan dan langkah penjimatan masa serta tenaga. Mereka yang nak mulakan sudah pasti membuat kiraan kos logistik, kos upah tenaga buruh am dan masa yang diperlukan untuk mendapatkan hasil.

Akan tetapi, spesis ini bukanlah tanaman yang boleh disesuaikan dengan komoditi yang lain. Ianya mempunyai sedikit perbezaan bagi menjayakan sesuatu pembangunan tanah gaharu.

Dari sejarah pertanian gaharu, ramai yang temui jalan buntu, kegagalan ni akibat dari pembukaan tanah secara besar-besaran kemudian penanaman terus dibuat.

Gaharu bukanlah sepertimana tanaman komoditi yang lain. Pembukaan tanah yang berskala besar menyebabkan keadaan tanah menjadi kering dan keras. Kesukaran pokok menyesuaikan diri adalah faktor utama yang menyebabkan peratus anak pokok yang mati lebih tinggi. Ini menyebabkan kos permulaan projek membebankan dan diluar jangkaan penanam.

Saya bukannya maksudkan cara demikian menyebabkan semua pelabur dan penanam akan gagal. Ianya adalah suatu cara yang membebankan kos operasi dalam proses pembesaran pokok yang ditanam.

Kebarangkalian kematian anak pokok atau terbantut untuk jangkamasa yang lama adalah lebih tinggi dari menggunakan konsep teduhan semula jadi untuk anak gaharu yang baru ditanam.

Adalah tidak salah sekiranya penggunaan jentera berat bagi maksud pembersihan peringkat pertama, kemudian meninggalkannya untuk jangka masa tertentu sehingga belukar memenuhi ruang tanah yang akan ditanam.

Setelah belukar mula memenuhi ruang dan meninggi, peringkat kedua adalah membuat pembersihan manual oleh tenaga upahan buruh am sebelum penanaman anak gaharu dilaksanakan sepenuhnya. Langkah sebegini sedikit-sebanyak membantu tanah sentiasa lembab dan subur.

Sesuatu pelaksanaan yang salah berkemungkinan pemilik projek sukar untuk buat pusingan U. Oleh itu, pengalaman pertama adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesalahan. 

Ini kerana sesuatu tindakan yang salah menyebabkan penanam menanggung bebanan modal yang lebih besar dari kos sepatutnya. Sebab ni jugaklah blog seperti ini ditulis khas untuk rujukan anda.

Tiada ulasan: